EXCO Pemuda Umno, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menawarkan hadiah wang tunai RM25,000 kepada pelumba basikal negara sekiranya berjaya membawa pulang pingat emas pertama negara dalam Sukan Olimpik 2020, esok.
Muhamad Muqharabbin membuat tawaran berkenaan susulan kejayaan Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang mara ke saingan suku akhir acara keirin.
Katanya, beliau turut menawarkan ganjaran wang tunai RM15, 000 untuk Perak dan Gangsa, selain RM10,000 sekiranya layak ke peringkat akhir.
“Ia sebagai tanda penghargaan dan pengorbanan atlet negara kita yang mengharumkan nama negara dipersada dunia.
“Saya juga seorang atlet. Saya tahu dan dapat menjiwai susah payah dan perit jerih berlatih, disokong tatkala menang, di rendah-rendahkan disaat kalah, sedangkan bukan mudah mencapai tahap juara dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Muhamad Muqharabbin berkata, beliau juga akan menaja pakej menunaikan Haji kepada pemenang pingat emas Olimpik.
“Hadiah sumbangan turut diberi kepada pemenang pingat gangsa acara badminton.
“Saya dan rakyat Malaysia mendoakan kejayaan untuk Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sharom,” katanya.
Pemburuan emas sulung Malaysia terus menyala apabila dua jaguh berbasikal Azizulhasni dan Shah Firdaus menepati ramalan mara ke peringkat suku akhir acara keirin.
Pada saingan hari ini, Azizulhasni yang juga pemenang pingat gangsa keirin di Rio 2016 itu tampil bijak mengawal perlumbaan sekali gus menamatkan saingan kelayakan ketiga di tempat pertama.
Namun nasib berlainan menimpa Shah Firdaus yang terpaksa melalui pusingan repechage sebelum mara ke suku akhir. – Malaysiapost
Kredit Foto: Ig/Muqharabbin Mokhtarrudin

