PRN Sabah: Jumlah kerusi PKR sangat kecil

0
3

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mendapaf jumlah kerusi yang sabgat kecil untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Bagaimanapun, beliau berkata perbincangan soal pembahagian kerusi belum dimuktamadkan lagi.

“Sangat kecil, sangat kecil, untuk Keadilan (PKR) punya (jumlah kerusi) sangat kecil,” katanya dipetik daripada laporan Bernama.

Isu pembahagian kerusi itu dijangka dimuktamadkan sebelum penamaan calon Sabtu depan bersama-sama parti dalam Pakatan Harapan (PH) bagi mengelakkan pertindihan atau perebutan kerusi.

Saifuddin Nasution berkata, isu pembahagian kerusi turut dibincangkan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam pertemuan tertutup di Kota Kinabalu.

“Kita perlu juga mengambil kira kawasan-kawasan yang ada penglibatan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Amanah atau DAP dan itu lumrah dalam mana-mana proses perundingan kerusi,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata PKR juga mengambil kira dan melihat keperluan untuk bertanding semula di kawasan yang pernah dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas.

Pada PRU14, PKR bertanding di lapan kerusi dan hanya menang dua daripadanya iaitu di Dewan Undangan (DUN) Api-Api dan DUN Inanam.