Hero MBJB terima pengiktirafan

0
2

JASA bakti penguatkuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Shazrin Hafeez Fadzlan yang bergelut dengan seorang peragut baru-baru ini mendapat pengiktirafan.

Lebih manis, pengiktirafan itu diserahkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Memetik laporan Utusan Online, Shazrin Hafeez, 26, bukan sahaja menerima sijil dan wang tunai berjumlah RM1,000 malah mendapat tawaran jawatan tetap sebagai Pembantu Kesihatan Awam MBJB.

Shazrin Hafeez diangkat sebagai hero apabila videonya bergelut dengan seorang peragut di Taman Mount Austin, Selasa lalu tular dalam media sosial

Malah masyarakat berbilang kaum turut menyatakan penghargaan atas tindakan pantasnya itu dengan menyerbu gerai burger yang diusahakan di Taman Johor Jaya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan penjenayah terbabit yang menunggang sebuah motosikal meragut beg tangan seorang wanita berusia 30 tahun ketika mangsa sedang melintas jalan.