Bekalan air di 811 kawasan pulih sepenuhnya

0
2

Fitri Nizam

SEBANYAK 62.7 peratus bekalan air daripada 1,292 kawasan yang terjejas akibat pencemaran bau di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor, pulih sepenuh.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata sehingga jam 6.30 petang tadi sebanyak 811 daripada 1,292 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sudah mendapat semula bekalan air.

“Wilayah Kuala Selangor dan Hulu Selangor telah pulih hampir sepenuhnya, diikuti Gombak dan Petaling,” katanya menerusi laman sosial Facebook, hari ini.

Sementara itu, Air Selangor menerusi satu kenyataan media berkata sebahagian kawasan di Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur dan Kuala Langat sudah mendapat bekalan namun pemulihannya masih di bawah 50 peratus.

Dalam perkembangan berkaitan, Air Selangor menafikan mesej viral di aplikasi WhatsApp dan media sosial mengenai bekalan air akan ditutup semula dan catuan akan dilaksanakan serta kualiti air yang tidak selamat.

“Pengguna dinasihatkan supaya tidak menyimpan dan menggunakan air secara berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas, berjalan lancar mengikut jadual.

“Air Selangor juga memberi jaminan bahawa kualiti bekalan air yang diagihkan kepada pengguna adalah selamat dan menepati piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.