Umno Sabah jadikan acuan politik negeri sebagai panduan

0
2

UMNO Sabah menghormati keputusan pimpinan tertinggi parti itu tetapi pada masa sama ia perlu seiring dengan ramuan dan acuan politik negeri sebagai panduan.

Ketua Pemuda Umno Sabah, Abdul Aziz Julkarnain berkata, beliau menyokong penuh kenyataan rasmi Umno Sabah terhadap suhu politik yang sedang berlaku di peringkat Persekutuan.

“Ianya satu kenyataan yang bertanggungjawab, seimbang dan wujud penekanan terhadap autonomi Umno Sabah.

“Ianya penting untuk perlihatkan gambaran kepada rakyat Sabah dan akar umbi parti bahawa Umno Sabah menghormati keputusan pimpinan tertinggi parti, tetapi pada masa sama ianya perlu seiring dengan ramuan dan acuan politik negeri sebagai panduan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Abdul Aziz berkata, beliau sedar bahawa Umno Sabah mempunyai tugas fidusiari kepada rakyat Sabah yang telah memberikan peluang kedua kepada parti itu semasa Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 lalu, melalui kerjasama parti-parti politik di dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Saya yakin dan percaya, Kerajaan GRS, di bawah kepimpinan dua tokoh besar negeri iaitu YAB Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dan YB Datuk Seri Bung Moktar Radin, mampu membangunkan negeri ini ke aras yang lebih tinggi dan cemerlang melalui semangat Sabah Maju Jaya. InshaAllah,” katanya.

Terdahlu, media melaporkan, Umno Sabah akur dan menghormati ketetapan diputuskan pucuk kepemimpinan tertinggi Umno Pusat, namun menegaskan perkara itu disesuaikan dengan kuasa autonomi yang dimilikinya.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Umno Sabah menjelaskan sejajar dengan kedudukan itu dan mandat diberikan rakyat Sabah pada PRN ia mengambil pendirian terus kekal dan menyokong kerajaan GRS pimpinan Hajiji.

Kenyataan itu turut menyatakan harapan Umno Sabah agar pendiriannya itu dihormati semua pihak demi kestabilan, keharmonian dan kemakmuran rakyat serta negeri Sabah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here