Lembah Klang catat pemberian vaksin tertinggi semalam

0
1
Orang ramai duduk menunggu giliran untuk mengambil vaksin AstraZaneca di PWTC.

JUMLAH pemberian vaksin Covid-19 sehingga semalam ialah 23,608,290 dos dengan 15,350,180 orang penerima dos pertama dan 8,258,110 menerima dos kedua.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pemberian vaksin pada semalam sahaja adalah sebanyak 447,035 dos membabitkan 187,756 dos pertama dan 259,279 dos kedua.

“Jumlah yang terima dos pertama kini ialah 15,350,180 orang dan daripada jumlah itu, 8,258,110 orang telah terima dos kedua,” katanya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.

Sementara itu, berdasarkan data dan infografik yang dikongsinya, peratusan keseluruhan yang telah divaksinasi semakin meningkat dan setakat semalam 46.4 peratus daripada jumlah populasi penduduk Malaysia sudah menerima satu dos vaksin.

Daripada jumlah itu, 35.3 peratus sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19, manakala golongan dewasa yang menerima satu dos vaksin adalah sebanyak 65.6 peratus.

Lembah Klang membabitkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan pemberian vaksin tertinggi iaitu 6,140,740 dos pertama dan 2,940,203 lengkap dua dos. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here