Nurul Huda Abhar
JALUR gemilang adalah lambang negara yang mampu membangkitkan semangat patriotisme dalam setiap rakyat Malaysia serta dapat mencetuskan solidariti dalam apa jua cabaran yang mendatang.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata rakyat Malaysia perlu bersama-sama memterjemahkan bentuk solidariti itu dengan mengibar megah jalur gemilang tanda kita sentiasa bersatu padu dalam melawan pandemik Covid-19.
“Saya berharap seluruh rakyat Malaysia baik daripada penjawat awam, warga sektor swasta dan sesiapa jua akan menyahut seruan kerajaan untuk mengibar jalur gemilang dengan penuh rasa bangga, tertib dan rasa hormat.
“Kibarkan jalur gemilang di kediaman dan di kenderaan masing-masing demi menzahirkan rasa cinta akan negara diringi doa dan harapan agar segera pulih daripada wabak Covid-19 dan kita boleh kembali pada kehidupan normal dan mencapai kemakmuran,” katanya dalam Amanat Perdana sempena pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021, sebentar tadi.
Muhyiddin berkata, negara kini masih berada dalam tempoh yang amat mencabar susulan penularan wabak Covid-19.
Bagaimanapun, katanya, beliau yakin rakyat mempunyai semangat cintakan negara yang tinggi dan dapat mengambil iktibar serta aspirasi meraikan bulan bersejarah ini yang menyaksikan negara mencapai kemerdekaan.
“Kita dilahirkan di tanah air ini dan menjadi sebahagian warganegara yang bersumpah setia untuk menpertahankan hingga akhir hayat kita.
“Semangat tinggi nenek moyang unttuk menuntut kemerdekaan yang penuh ranjau dan berliku perlu dijadikan iktibar dan inspirasi kepada kita semua,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Perdana Menteri juga menyifatkan negara sedang berperang dengan musuh yang sukar dilihat dan berharap agar rakyat terus diberikan kekuatkan untuk melawan Covid-19.
“Kali ini kita sedang berperang dengan musuh yang sukar dilihat dan lebih berbahaya. Saya berdoa agar semua terus cekal dan dikurniakan kekuatan dalam usahan menamatkan wabak Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

