MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa pihak berkenaan berhenti memperalatkan agensi-agensi kerajaan bagi menekan dan mengugut Ahli-Ahli Parlimen yang tidak menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menerusi kenyataan bersama, Majlis Presiden PH meluahkan kerisauan trend yang berlaku di mana agensi-agensi Kerajaan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), diperalatkan untuk tujuan tersebut.
“Ia seperti yang telah diperlakukan kepada YB Lim Guan Eng serta YB Syed Saddiq melalui SPRM serta pendakwaan terpilih oleh Peguam Negara atas tuduhan rasuah yang tidak berasas.
“Kini seluruh negara menyaksikan bagaimana siasatan PDRM terhadap Ahli-Ahli Parlimen yang ingin ke Parlimen pada Isnin lalu dipercepat.
“Malah, kami difahamkan usaha untuk menekan dan mengugut Ahli-Ahli Parlimen berterusan malah dipertingkat untuk menjadi talian hayat politik seorang Perdana Menteri yang tiada keabsahan dan telah hilang sokongan majoriti,” kata kenyataan itu.
Pada masa yang sama, Majlis Presiden PH berkata, umum sedia maklum tiada sebarang tindakan atau siasatan yang diteruskan SPRM atau LHDN terhadap mereka yang telah khianat dan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Oleh itu, kami menegaskan bahawa agensi-agensi penguatkuasaan wajib bersifat profesional, neutral dan tidak mengikut selera politik pemerintah sekarang.
“Jangan terlanjur dalam keadaan nakhoda sedang hanyut,” katanya.
Kenyataan bersama itu daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden DAP Lim Guan Eng – Malaysiapost

