Bapa Ain Husniza rancang saman balas guru RM5 juta

0
1

BAPA kepada pelajar sekolah, Ain Husniza Saiful Nizam yang mendakwa guru pendidikan jasmaninya bergurau keterlaluan mengenai perbuatan rogol, merancang menyaman balas guru terbabit RM5 juta.

Perancangan saman balas itu dinyatakan oleh peguam Ain, Datuk Sangkara Nair.

Sangkara berkata, tindakan itu adalah satu bentuk tindakan sivil mengikut Undang-Undang Sivil 1956 (Akta 67) selepas Ain menghadapi kemurungan dalam konteks sengaja mencetuskan tekanan emosi (IIED), susulan kes itu yang dianggap sebagai satu gangguan seksual.

“Hari ini, Ain dan bapanya akan memberi keterangan kepada pegawai penyiasat dan setakat ini kita masih belum tahu apa yang bakal ditanya termasuk seksyen siasatan itu dijalankan.

“Namun selepas itu kita akan mengambil apa sahaja tindakan yang perlu untuk menyelamatkan Ain,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Sangkara berkata, seperti sedia maklum guru berkenaan mengemukakan saman sebanyak RM1 juta terhadap Ain dan bapanya sebelum dia mencadangkan kepada bapa Ain untuk mengemukakan saman balas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafaaton Abu Bakar dalam satu kenyataan memaklumkan, Ain dan bapanya hadir memberi keterangan hari ini susulan laporan polis dibuat guru terbabit pada 5 Mei lalu.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh telah memanggil kedua-duanya untuk tujuan rakaman percakapan bagi membantu proses siasatan berkenaan aduan terhadap laporan polis yang dibuat oleh pihak pengadu tersebut.

“Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ain dan bapanya tiba pada jam 5.10 petang sebelum memasuki pekarangan IPD Sungai Buloh, 15 minit kemudian.

Pada 24 April lalu, media melaporkan seorang guru pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor, didakwa bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol dalam sesi pendidikan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here