
SEBANYAK 80 peratus daripada kes kematian sebelum tiba di hospital (BID) akibat Covid-19, adalah membabitkan mangsa tidak pernah didiagnos dengan penyakit tersebut.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong, berkata mereka ini sama ada tidak mempunyai akses untuk melakukan diagnos atau tidak pernah tampil untuk membuat ujian.
“Kami dapati sebahagian besar mereka adalah bukan warga Malaysia,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan Covid-19 di sini pada Jumaat.
Dr Chee Kheong berkata, daripada 1,000 kematian dilaporkan setiap minggu 80 hingga 100 daripadanya adalah kes BID.
Beliau berkata, BID meningkat secara konsisten beberapa minggu lalu dan bagi menangani situasi ini Pusat Penilaian Covid-19 secara Maya (VCAC) telah diaktifkan seminggu lalu untuk memastikan tindak balas pengurusan yang efektif.
Katanya, VCAC membolehkan orang ramai yang diuji positif tetapi tidak bergejala atau mempunyai gejala ringan menjalani pengasingan di rumah dan dipantau melalui kit penilaian di rumah (HAT) dan bukannya datang ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) fizikal.
“Sebanyak 60 peratus (daripada mereka yang dijangkiti) biasanya tidak bergejala dan kira-kira 30 peratus mempunyai gejala ringan. Hanya lima hingga 10 peratus perlu dinilai secara fizikal, mereka ini yang perlu datang ke CAC fizikal,” katanya.
Beliau berkata, VCAC adalah kaedah bagi memastikan kes tidak bergejala tidak memenuhi hospital dan CAC fizikal.
Hari ini, sebanyak 160 kes kematian dicatatkan menjadikan keseluruhan kes kematian akibat Covid-19 di negara ini mencecah 10,179.
Sementara, kes harian jangkitan Covid-19 terus melonjak kepada 20,889 kes berbanding 20,596 semalam, yang membabitkan 20,889 kes tempatan dan 13 kes import. – Malaysiapost
