Arahan nyata pendirian oleh Umno bertentangan undang-undang – TPM

0
2

SURAT daripada Umno yang dihantar kepada semua Ahli Parlimennya bagi menyatakan pendirian peletakan jawatan dan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasioanal (PN) adalah bertentangan dengan perundangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata surat yang dihantar Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan tersebut memberikan tempoh 48 jam kepada Ahli Parlimen terbabit untuk memberi jawapan.

“Kita melihat perkara ini dan akan membuat keputusan sama ada ingin menjawab atau tidak surat tersebut. Kita akan bincang semula.

“Pada masa sama, arahan daripada Presiden melibatkan kami sebagai Ahli Parlimen bagi memperjelaskan tujuan dan hasrat beliau.

“Kita merasakan tidak boleh keluar arahan tiba-tiba tanpa berjumpa dengan jelaskan kepada kami,” katanya ketika sidang media Ahli Parlimen Umno yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail Sabri berkata, tindakan wakil rakyat terutamanya di kalangan Menteri yang melepaskan jawatan serta merta walhal diberikan tugas menyelesaikan isu berkaitan pandemik Covid-19 dan masalah ekonomi, adalah tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, berkata arahan daripada Umno yang mahu Menteri di kalangan Ahli Parlimen parti itu menarik diri secara tergesa-gesa daripada kerajaan Perikatan Nasional dilihat tidak bertanggungjawab kepada rakyat.

“Kita (Ahli Parlimen) sebagai ahli parti yang setia kepada parti yang mana objektif sebagai wakil rakyat adalah untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Menarik diri serta merta, menumbangkan kerajaan dan lari daripada tanggungjawab yang diamanahkan rakyat adalah tindakan tidak bertanggungjawab.

“Kita akan terus menyokong (kerajaan PN) berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong. Kita akan kekal bersama kerajaan sehingga keabsahan kerajaan ini ditentukan dalam Parlimen,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah melepaskan jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli kerana akur dengan keputusan parti berhubung penarikan sokongan Umno kepada kerajaan PN sebelum 1 Ogos ini.

Ia susulan keputusan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa lalu sebulat suara bersepakat untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

Menurut Ahmad Zahid, Muhyiddin sekali gus telah hilang majoriti dan keabsahan beliau selaku ketua kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan ini telah terbatal.

Terdahulu, dalam sidang media sama, Ismail Sabri menyatakan pendirian akan kekal bersama kerajaan PN sehingga keabsahan kerajaan ditentukan Parlimen September ini.

Seramai 31 Ahli Parlimen Umno membuat keputusan kekal bersama kerajaan PN dan menjunjung titah Yang di- Pertuan Agong supaya kerajaan PN meneruskan pentadbiran dan akan menentukan keabsahan kerajaan di Parlimen. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here