“Rakyat pun tahu PM bukan boleh terima nasihat” – Puad

0
2

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan tiada keperluan untuk melantik Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri bertaraf menteri.

Beliau berkata, sewaktu pandemik yang meruncing ini penasihat kesihatan dan ekonomi adalah lebih penting, berbanding penasihat komuniti, komunikasi masyarakat dan sosio ekonomi.

“Lantiklah pakar, profesional atau tokoh ‘elderly’ berpengalaman sebagai penasihat. Kenapa Peja (Ahmad Faizal) yang diundi percaya tetapi tidak percaya sebagai MB Perak.

“Di waktu pandemik, penasihat kesihatan atau ekonomi lebih diperlukan. Bukan penasihat komuniti, komunikasi masyarakat dan sosio ekonomi. Macam tidak serious,” katanya dalam hantaran Facebook.

Selain itu, Mohd Puad secara sinis berkata, lantikan itu tidak bermakna sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan menerima nasihat termasuk daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Bertaraf Menteri pula. Rakyat pun tahu PM bukan boleh terima nasihat. Apatah lagi nasihat orang bawah macam Peja. Titah YDP Agong pun diingkari.

“Tempat (Datuk Seri) Shamsul Nasarah kosong. Apakah Peja tidak layak? Mungkin ‘reserve’ untuk MP Umno yang belot. Lupa pula, ‘scheme of things’,” katanya.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan mengumumkan pelantikan Ahmad Faizal sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri bertaraf menteri.

Menurut PMO, Ahli Parlimen Tambun dan bekas Menteri Besar Perak itu akan bertanggungjawab menasihati Muhyiddin dalam hal ehwal jalinan komuniti, komunikasi masyarakat dan pembangunan sosio-ekonomi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here