Kluster perkilangan penyumbang utama kes Covid-19 di Selangor

0
1
PUTRAJAYA, 23 Julai -- Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Indera Dr Sha'ari Ngadiman bercakap pada sidang media khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan status penularan pandemik COVID-19 di KKM hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

PENYUMBANG utama kepada kes Covid-19 di Selangor dari segi kluster adalah kluster perkilangan, diikuti kluster perkhidmatan, tapak binaan, perniagaan dan komuniti.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, berkata ia berdasarkan trend kes yang dikesan di Selangor ketika ini.

Menurutnya, pihaknya juga cuba melihat adakah trend kes Covid-19 di Selangor berkaitan dengan sambutan Aidiladha baru-baru ini.

“Dari segi trend-trend kes yang kita kesan dalam negeri Selangor penyumbang kepada kes yang utama adalah dari sektor perkilangan, diikuti kluster perkhidmatan, tapak binaan, perniagaan dan komuniti, manakala kluster-kluster lain amat sedikit.

“Kalau dilihat trend berkenaan, kami cuba melihat adakah trend berkaitan dengan sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini dan kita dapat tiada satu kluster pun yang berkaitan sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Ini bermakna rakyat yang berada dalam Selangor amat akur dengan prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam sidang media khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai situasi semasa Covid-19, hari ini.

Dr Sha’ari berkata, bagaimanapun berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan terhadap kilang-kilang yang beroperasi mendapati prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dalam kawasan kilang.

“Bukan punca di kilang kerana majoriti kilang yang diperiksa mematuhi SOP, tetapi selepas itu kenapa berlaku transmisi mungkin diluar kilang sama ada di asrama pekerja atau rumah. Ini yang dirasakan berlaku.

“Pekerja sektor industri diminta mematuhi SOP dimana jua anda berada di kilang ataupun diluar kilang,” katanya.

Beliau berkata, selain itu hampir 65 peratus kes yang dikesan di Selangor adalah kes yang tanpa sebarang gejala dan 30 hingga 35 peratus pula adalah kes bergejala dimana majoriti kes di kategori tiga.

Katanya, kategori empat dan lima amat sedikit dikesan iaitu lebih kurang 1.8 peratus sahaja.

“Daripada jumlah kes yang telah disaring, dari segi penularan kontak rapat merupakan penyumbang terbesar kes-kes yang dikesan iaitu hampir 40 peratus.

“Kes bergejala pula adalah 22 peratus, pekerja 20 peratus, manakala daripada kluster bukan pekerja adalah 14 peratus dan lain-lain menyumbang 1.1 peratus,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here