MISTERI kehilangan pakaian dalam wanita milik penduduk sekitar Kampung Kemansur, Bentong akhirnya terjawab dengan tertangkapnya seorang lelaki warga asing pada Rabu lalu.
Penahanan lelaki berusia 36 itu, membawa kepada penemuan sejumlah besar pakaian dalam wanita yang di kumpul dan disimpan di beberapa bahagian dalam bilik kediaman suspek.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang penduduk iaitu lelaki tempatan berusia 54 tahun mengenai kehilangan pakaian dalam anak perempuannya di ampaian.
“Pada kira-kira jam 3 petang Rabu lalu, penduduk berkenaan dimaklumkan oleh jirannya bahawa terdapat seorang lelaki tidak dikenali dalam keadaan mencurigakan berlegar di kawasan rumahnya.
“Tidak lama kemudian anak perempuan lelaki itu memberitahu beberapa pakaian dalam miliknya didapati telah hilang dari ampaian di belakang rumah,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Menurutnya, susulan laporan polis yang dibuat lelaki berkenaan, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah menahan seorang lelaki warganegara asing berusia 36 tahun.
“Suspek adalah penggangur dan berjaya ditahan hasil daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah jiran mangsa.
“Hasil serbuan di rumah suspek, polis menjumpai sejumlah besar pakaian dalam wanita yang dikumpul dan disimpan di beberapa bahagian dalam biliknya.
“Suspek kini direman selama 14 hari mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Zaiham menasihatkan masyarakat dibawah pentadbiran IPD Bentong agar terus berwaspada dan sentiasa menghubungi balai polis berdekatan sekiranya terkesan sebarang bentuk perakuan jenayah. – Malaysiapost

