‘Kes melebihi 20,000, negara sudah menaikkan bendera putih’ – Tun M

0
2

PERSIDANGAN pertama Majlis Pemulihan Negara (MPN) dilakukan secara maya hari ini bagi membincangkan usaha mencari dan memberikan langkah penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat serta negara ketika krisis pandemik Covid-19 ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad memaklumkan persidangan itu melibatkan dirinya serta 18 tokoh dan pakar dalam bidang kesihatan, ekonomi, perundangan dan politik yang telah beliau cadangkan sebelum ini sebagai Ahli MPN.

“Saya percaya mereka yang hadir bersetuju menyertainya kerana mereka juga merasa perlu melakukan sesuatu untuk membantu negara ketika menghadapi bencana ini.

“Perlu diingat, ketika saya cadang penubuhan MPN ini pada 10 Jun, kes baharu yang direkod pada hari itu adalah 5,671 dan kematian seramai 73 orang.

“Semalam, kes baru mencapai rekod tertinggi sebanyak 19,819 dan kematian seramai 257 kes, juga merupakan rekod tertinggi setakat ini. Dari tempoh memberi cadangan sehingga sekarang selama dua bulan, jumlah kes dan kematian meningkat lebih tiga kali ganda,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Oleh yang demikian, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau dan mereka yang lain sudah tidak boleh menunggu tanpa berbuat apa-apa sementara kes-kes tersebut meningkat dengan begitu mendadak.

“Seperti mana rakyat Malaysia lain berusaha membantu mereka yang susah yang telah menaikkan bendera putih, kami merasa perlu berusaha mencari dan memberi penyelesaian kepada beberapa masalah yang dihadapi oleh rakyat dan negara.

“Bagi kami, apabila kes baru Covid-19 meningkat lima angka dan hari ini melebihi 20,000 kes, negara sudah menaikkan bendera putih.

“Saya dan rakan-rakan tidak boleh duduk diam dan membiarkan keadaan ini berterusan. Dengan pengalaman serta kepakaran yang dimiliki, kami akan memberi pandangan dan diharap akan diguna pakai oleh kerajaan,” katanya.

Justeru, seperti yang telah beliau terangkan sebelum ini, MPN itu tidak mempunyai kepentingan politik parti atau individu melainkan untuk mencari jalan untuk membantu negara mengatasi bencana.

“Kita boleh berterusan mengkritik kerajaan tetapi ia tidak menyelesaikan masalah dan yang akan terus menderita ialah rakyat.

“Adalah amat tidak bertanggungjawab di pihak kami jika kami mempunyai cadangan dan pandangan yang dapat membantu tetapi memilih untuk mendiamkan diri. Bagi kami di dalam MPN, ini adalah usaha dan khidmat kami kepada negara.

“Jika usaha kami dapat membantu rakyat dan negara, ini bermakna kami telah melaksanakan tanggungjawab kami sebagai rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here