Ketepikan perbezaan fahaman politik, utamakan rakyat – PAS

0
3

MURSYIDUL Am PAS, Datuk Hashim Jasin, berkata perbezaan fahaman politik ketika pandemik Covid-19 sewajarnya diketepikan bagi mengelak krisis politik negara yang boleh mengganggu perpaduan rakyat.

Justeru, katanya, dalam situasi pandemik Covid-19 yang semakin melonjak, Majlis Syura Ulama PAS mengajak rakyat bersatu hati memberi mandat kepada kerajaan dengan sokongan barisan hadapan untuk menguruskan kesihatan rakyat dengan baik.

“Marilah kita sentiasa berfikiran positif serta bersikap optimis bahawa kita pasti berjaya menghadapi saat sukar ini sebagaimana firman Allah Taala dalam Surah al-Talaq, ayat 7 yang bermaksud:” dan Allah akan jadikan selepas kesukaran itu hadirnya kesenangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau meminta rakyat segera tampil mendapatkan suntikan vaksin agar negara berjaya mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat.

“Jadi, marilah kita bersama meneruskan munajat dan doa kepada Allah agar pandemik Covid-19 ini segera berakhir.

“Antara yang boleh sentiasa dizikirkan ialah ungkapan:حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ Maksudnya: “Cukuplah Allah bagi kami (sebagai penolong) dan Dialah sebaik-baik pengurus (tempat berserah).”(Surah Aali Imran, ayat 173).

“Zikir ini menggambarkan pergantungan dan penyerahan diri secara mutlaq kepada Allah dalam menghadapi ujian besar musibah yang melanda dunia ini,” katanya.

Malaysia merekodkan jangkitan harian Covid-19 paling tinggi iaitu 20,596 kes hari ini, sejak pandemik itu melanda negara.

Menerusi kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setakat hari ini jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia mencecah 1,203,706 kes.

Sementara, sebanyak 164 kes kematian dicatatkan hari ini menjadikan keseluruhan kes kematian akibat Covid-19 mencecah lebih 10,000 iaitu 10,019 kes. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here