SEBANYAK 71 premis diarahkan tutup serta-merta semalam kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan pemeriksaan ke atas 2,006 kilang, 15,601 premis perniagaan, 1,005 tapak pembinaan dan 300 asrama penempatan pekerja.
Katanya, pada masa sama seramai 240 individu dikompaun manakala 14 lagi direman atas kesalahan ingkar SOP.
“Kesemua tindakan itu diambil susulan operasi penguatkuasaan melibatkan 18,604 anggota Pasukan Task Force Operasi Pematuhan.
“Selain itu, 79,868 pemeriksaan dan snap check Covid-19 telah dilaksanakan bagi memantau serta menguatkuasakan pematuhan SOP di seluruh negera,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan Operasi BENTENG (Op BENTENG) telah membuat tangkapan terhadap 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas enam kenderaan darat, semalam. – Malaysiapost

