Kesihatan Siti Sarah semakin baik – Shuib

0
1

PELAKON dan pelawak Shuib Sepahtu memaklumkan keadaan isterinya, Siti Sarah Raissuddin semakin baik selepas dimasukkan ke hospital berikutan tahap oksigen menurun, petang semalam.

Menerusi laman Instagramnya, Shuib memaklumkan walaupun bekalan oksigen penyanyi berusia 36 tahun itu belum stabil, tetapi keadaaan Siti Sarah semakin sihat.

“Alhamdulillah… semoga ibu makin sihat. Walaupun kadang-kadang oksigen masih belum stabil. Tapi ibu kena kuat semangat ok,” tulisnya dalam hantaran itu.

Dalam pada itu, Shuib turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan isterinya serta yakin dapat melalui ujian berkenaan.

“Terima kasih pada yang mendoakan, semoga kita semua kuat dalam menempuh ujian Allah. Allah uji Allah sayang,” katanya.

Semalam, Siti Sarah yang sedang sarat mengandung tujuh bulan dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) berikutan tahap oksigen menurun.

Minggu lalu, Siti Sarah dan Shuib serta tiga cahaya mata mereka disahkan positif Covid-19.

Keadaan Siti Sarah dikongsi suaminya, Shuib menerusi laman Instagram, semalam.

Dalam perkongsian video 14 saat itu, Siti Sarah kelihatan duduk atas kerusi roda sambil memakai oksigen dan dipeluk oleh tiga cahaya mata sebelum dibawa menaiki ambulans.

Sementara itu, syarikat pengurusan, Indigital Music dalam kenyataan memaklumkan Siti Sarah sepatutnya memotong gelang semalam, tetapi mengalami batuk dan mengadu tidak selesa, sejak kelmarin.

“Siti Sarah dibawa dengan ambulans kira-kira jam 6.30 petang semalam untuk mendapatkan rawatan. Sepatutnya sudah memotong gelang kuarantin, tetapi keadaan kesihatannya kurang memuaskan.

“Tahap oksigen semakin menurun menyebabkannya terpaksa dikejarkan ke HCTM,” kata pengurusnya, Nana Mohd Rom. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here