SEORANG warga emas berusia 68 tahun yang tinggal di tepi kedai di sekitar Negeri Sembilan, sebak dibantu oleh pendakwah bebas, Ebit Lew.
Ebit berkata, lelaki yang dikenali sebagai Pak Yusuf atau nama sebenarnya Zakariya itu kelihatan agak uzur dan sukar untuk bergerak kerana mengalami sakit pinggang dan kaki.
Justeru, katanya, beliau membantu Pak Cik Yusuf dengan menyewakan bilik dan membelikan katil serta tilam termasuk baju baru demi keselesaan dan keselamatan dirinya.
“Sayunya rasa bila dapat berita pak cik 68 tahun ini tinggal ditepi kedai macam ni. Pagi-pagi tadi terus bergegas ke Negeri Sembilan. Kakinya dan pinggangnya sakit. Susah nak bangun dan berjalan.
“Pak cik Yusuf atau nama sebenar Zakariya. Menangis jer tadi. Katanya saya susah nak menangis tapi hari ini saya menangis. Allah dengar doa saya walau saya muda-muda dulu liar juga ustaz. Malu saya dengan Allah. Hari-hari doa nak mati je. Tapi bangun-bangun masih di sini.
“Kami carikan bilik sewa dan akan bayarkan sewanya, belikan katil dan tilam, belikan baju dan terus pakaikan. Kelengkapan mandi dan lain-lain. Syukur sangat rasa jumpa pakcik yang baik ni. Terima kasih ya Allah. Bagaimanalah saya tidur lena sedangkan ada orang tua begini uzur tidur ditepi jalan. Apa nak jawab depan Allah nanti,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua pihak yang selama ini membantu kelangsungan hidup Pak Cik Yusuf.
“Terima kasih abang Polis dan isteri yang membantu pakcik ni dengan selalu beri makanan padanya.
“Terima kasih masyarakat sekitar yang prihatin. Terima kasih zakat dan masjid sekitar yang baik. Terima kasih semua badan kerajaan atau swasta yang terlibat. Terima kasih semua yang mendoakan dan bersama Pertubuhan Kasih Umat Malaysia selama ini.
“Saya cuma berharap menjadi skru kepada keretapi yang menuju ke sana. Semoga Allah Redha. Terima kasih semua tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya. – Malaysiapost

