ASET bernilai RM114 juta, yang disita polis di kondominium mewah Pavilion Residences pada 17 Mei 2018, telah dipulangkan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno pada Jun lalu.
Timbalan Pendakwaraya Faten Hadni Khairuddin, dilaporkan berkata berdasarkan semakan dengan pegawai penyiasat, aset terbabit telah diserahkan pada 17 Jun lalu.
Menurutnya, pemulangan itu dilakukan kerana pihak pendakwaan tidak memohon untuk memfailkan rayuan, selepas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakiman pada 20 Mei lalu, menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak aset terbabit.
“Telah diserahkan kepada DSN (Datuk Seri Najib) melalui wakil kerana pihak pemohon (pendakwaan) tidak memfailkan rayuan,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani, hari ini.
Sebelum ini, Muhammad Jamil menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang yang disita oleh polis di kondominium mewah Pavilion Residences yang terletak di ibu negara pada 17 Mei 2018.
Dalam keputusannya, Muhammad Jamil berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan wang RM114,164,393.44 yang disita itu terbabit dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan gagal membuktikan wang berkenaan wujud hasil aktiviti pengubahan wang haram.
Pada 2019 pihak pendakwaan memohon pelucuthakan membabitkan 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 cermin mata serta 306 beg tangan dan wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44. – Malaysiapost

