PH dakwa Muhyiddin kelirukan Agong, desak sidang khas Parlimen

0
2

PAKATAN Harapan (PH) mendakwa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengelirukan Yang di-Pertuan Agong dalam isu majoriti dimilikinya, serta mendesak Sidang Khas Parlimen diadakan Isnin ini.

Dalam satu kenyataan bersama Majlis Presiden PH berkata, keabsahan Perdana Menteri boleh disahkan tanpa sebarang keraguan dengan mengadakan sidang khas Parlimen dengan satu urusan sahaja, iaitu membentang, membahas dan memutuskan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

“Setelah pimpinan PH membuat perkiraan yang teliti bersama rakan-rakan dari parti-parti pembangkang dan semua yang tidak menyokong Tan Sri Mahiaddin Md Yassin (Muhyiddin), ternyata Tan Sri Mahiaddin telah tidak bercakap benar dan telah mengelirukan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sewaktu sesi menghadap semalam.

“Kami mengulangi pendirian kami serta semua parti dalam blok Pembangkang termasuk Ahli-Ahli Parlimen yang telah menarik sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin, iaitu mendesak diadakan sidang khas Parlimen pada Isnin, 9 Ogos untuk memutuskan isu ini,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut, PH berkata, tindakan menangguhkan undi tidak percaya sehingga bulan September adalah amat tidak wajar.

“Isu sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin dan kestabilan Kerajaan Perikatan Nasional mesti diputuskan sekarang.

Selagi mana ia ditangguhkan, selagi itulah isu kestabilan dan keberkesanan kerajaan tidak dapat diselesaikan.

“KDYMM Raja-Raja Pemerintah telah bertitah pada 16 Jun yang lalu betapa pentingnya kerajaan itu stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.

“Rakyat yang terus tertekan akibat masalah ekonomi serta pandemik Covid-19, termasuk jumlah kes dan kematian yang begitu tinggi setiap hari, mewajibkan kita menyelesaikan masalah ini sekarang,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, PH juga menyifatkan tindakan Muhyiddin mengelirukan Yang di-Pertuan Agong adalah satu bentuk penderhakaan yang tidak boleh dimaafkan.

“Ini adalah satu tindakan penderhakaan tertinggi terhadap Ketua Utama Negara dan tidak patut dimaafkan.

“Kami berpandangan mesti ada tindakan tegas terhadap penipuan yang dilakukan di peringkat tertinggi sehingga sanggup tidak bercakap benar dan mengelirukan Seri Paduka Baginda,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here