Kes Covid-19 meruncing, Zahid minta penyokong PN ‘buka mata’

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan penyokong kerajaan Perikatan Nasiinal (PN) supaya ‘membuka mata hati’ dengan melihat situasi Covid-19 negara ketika ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu, berkata situasi Covid-19 negara kini semakin meruncing dengan keseluruhan nyawa yang terkorban adalah 9,855 orang dan keseluruhan kes mencecah 1.2 juta orang.

“Bayi dan kanak-kanak dijangkiti wabak Covid-19 di Kelantan dilapor meningkat. Dilaporkan meningkat antara 25 hingga 30 peratus dalam tempoh dua minggu ini.

“Bayi dan kanak-kanak yang dijangkiti berusia antara 28 hari sehingga 12 tahun. Wahai pendokong dan penyokong kerajaan PN bukalah mata hati anda. Bukalah walau sedikit cuma,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mempersoalkan pelan pemulihan yang dirancang kerajaan memandang situasi Covid-19 di negara semakin buruk.

“Dimanakah perasaan ihsan anda? Apakah ini yang anda katakan sebagai terbaik dan pemulihan? Tidakkah anda simpati dengan apa yang menimpa anak-anak ini?

“Semalam seramai 257 orang lagi dilaporkan terkorban di seluruh negara akibat jangkitan. Walau bersentimen politik sekali pun, tiadakah langsung perikemanusiaan dalam diri anda?

“Mengapa masih boleh menyokong dan cuba menghalalkan keadaan ini terus berlaku?,” soalnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mendoakan semoga individu yang dijangkiti wabak bahaya ini mendapat kesembuhan segera.

“Betapa sedih jiwa tatkala menulis ini. Ya Allah kau lindungilah anak-anak kecil daripada jangkitan Covid-19.

“Sembuhkan yang telah terjangkit. Sesungguhnya engkaulah sebaik-baik pengharapan dan pemberi kesembuhan,” katanya.

Semalam, Malaysia sekali lagi mencatatkan kes harian dan kematian tertinggi apabila 19,819 lagi kes baharu dengan 257 kematian dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata secara keseluruhan bagi kes baharu yang dikesan semalam hanya 3,592 kes iaitu 18.1 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan mempunyai sejarah vaksinasi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here