PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan sebagai ‘kluster mahkamah’ digesa supaya menafikan pernah mendesak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan dalam kes mahkamah yang dihadapi mereka.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dalam kenyataan Perdana Menteri kelmarin, beliau menyebut bahawa ada desakan supaya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.
Menurutnya, susulan itu heboh dibicarakan oleh pelbagai pihak mengenai siapa yang dimaksudkan membuat desakan berkenaan termasuk ada dakwaan bahawa antara kes yang dimaksudkan adalah membabitkan Ahmad Zahid dan Najib.
“Ada yang mengatakan Zahid pernah meminta Muhyiddin menggugurkan kes-kes beliau, manakala Najib pula pernah meminta menukar hakim dalam proses rayuan. Ini dakwaan yang berat.
“Saya tidak terkejut jika Muhyiddin menolak mentah-mentah kedua-dua desakan ini sehingga menyebabkan Najib dan Zahid amat marah dan terdesak. Beliau memang tegas dalam hal integriti dan melawan salah laku,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, Ahmad Zahid dan Najib perlu menjawab segera dan menafikan perkara itu jika tidak betul.
“Betulkah Najib dan Zahid begitu terdesak hingga sanggup memecahbelahkan perpaduan politik Melayu yang tidak pernah dinikmati oleh negara sebelum ini dengan cara mengarahkan penarikan sokongan sebab mereka takut ke penjara?
“Padahal ramai pemimpin Umno yang tumpuan mereka ialah berkhidmat kepada rakyat dan negara dalam kerajaan yang ada kesatuan,” katanya.
Wan Saiful berpendapat, jika khabar angin itu betul, jelaslah Zahid dan Najib langsung tidak fikir mengenai kesatuan politik dan kebajikan rakyat.
“Kluster mahkamah ini berusaha gulingkan kerajaan walaupun semasa pandemik hanya untuk diri sendiri, bukan untuk rakyat. Masih perangai macam dulu.
“Berbeza sungguh dengan sikap Muhyiddin. Diasak macam mana sekalipun, fokus Muhyiddin ialah menjaga rakyat,” katanya.
Semalam, Muhyiddin berkata, beliau percaya pihak yang mencetus kemelut politik ketika ini, tidak senang dengannya kerana beliau enggan mencampuri urusan mahkamah.
Perdana Menteri berkata, pihak berkenaan tidak selesa dengan ketegasannya yang enggan melayan desakan mereka supaya membebaskan individu tertentu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.
Sehubungan itu, katanya, pihak terbabit cuba menangguk di air yang keruh dengan mencetuskan kemelut politik, walaupun negara sedang berdepan krisis pandemik yang kian memuncak. – Malaysiapost

