ADUN Hulu Kinta buat laporan polis terhadap Muhyiddin

0
1

ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahammad membuat laporan polis terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa telah mengelirukan Yang di-Pertuan Agong berkaitan majoriti sokongan dimilikinya.

Muhamad Arafat Varisai Mahammad membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, sebentar tadi.

Muhamad Arafat berkata, berdasarkan ucapan Perdana Menteri dalam perutusan khas semalam, beliau telah menyembah maklum kepada Agong susulan telah menerima sejumlah surat akuan bersumpah (SD) daripada majoriti Ahli Parlimen.

“Sejurus perutusan khas Perdana Menteri, telah keluar kenyataan media daripada lapan parti pembangkang serta Ahli Parlimen bebas.

“Tambahan, 11 Ahli Parlimen Umno yang tampil dalam pengumuman menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin sehari sebelum serta mengesahkan dalam kenyataan Umno semalam bahawa jumlah itu telah bertambah,” katanya.

Justeru, Mohamad Arafat mempertikaikan di mana kebenarannya Muhyiddin masih memiliki majoriti Ahli Parlimen yang menyokongnya untuk terus berkuasa menjadi Perdana Menteri.

“Difahamkan semua pihak tersebut (pembangkang) mempunyai sekurang-kurangnya 117 kerusi dalam Dewan Rakyat, maka mana mungkin Perdana Menteri masih ada majoriti.

“Adakah Perdana Menteri menipu dan kelirukan Agong untuk mengelak perletakan jawatan beliau,” katanya.

Dalam perutusan khas semalan, Muhyiddin mendakwa telah menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti.

Sehubungan itu, Muhyiddin telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau akan menentukan keabsahan sebagai Perdana Menteri di Parlimen yang bakal berlangsung September ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here