Malaysia bangkit isu monopoli vaksin

0
2

ISU monopoli vaksin dan penekanan kepentingan pengagihan vaksin secara saksama akan dibangkitkan oleh Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam mesyuarat pertama Forum Antarabangsa Kerjasama Vaksin, hari ini.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan, forum anjuran Kementerian Luar Negeri China itu akan dipengerusikan oleh Penasihat Negara dan Menteri Luar Negeri China, Wang Yi, secara maya malam ini.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat akan tertumpu kepada usaha peningkatan kapasiti pengeluaran vaksin dan kerjasama teknologi vaksin agar ia lebih mudah diperolehi pada harga berpatutan oleh negara membangun, bagi memerangi pandemik Covid-19.

“Fokus ucapan Menteri Luar Negeri dalam mesyuarat tersebut akan menyentuh isu monopoli vaksin dan menekankan kepentingan pengagihan vaksin secara saksama.

“Beliau juga akan menegaskan mengenai keperluan segera semua negara mendapat akses bagi perolehan vaksin kerana ia adalah kaedah terbaik menangani pandemik ini,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurutnya, satu kenyataan bersama akan dikeluarkan sebagai hasil mesyuarat bagi mempamerkan kesatuan serta komitmen teguh negara peserta dalam memerangi pandemik Covid-19 melalui kerjasama vaksin antarabangsa.

Kementerian Luar memaklumkan, pada 18 November 2020, Malaysia dan China memeterai Perjanjian Kerjasama Pembangunan dan Akses Vaksin yang membolehkan Malaysia membeli vaksin buatan negara itu.

Perjanjian itu juga membolehkan Malaysia memulakan kolaborasi teknikal dengan China dalam teknologi pembangunan vaksin, terutamanya bagi aspek pensijilan halal.

“Selain itu, kandungan Kenyataan Media Bersama semasa lawatan rasmi Wang Yi, ke Malaysia pada 13 Oktober 2020 menyenaraikan Malaysia sebagai antara penerima utama vaksin buatan China.

“Pada Julai 2021, China menyumbang sebanyak 500,000 dos vaksin Sinovac kepada Malaysia sebagai menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here