Olimpik Tokyo: Pandelela mara ke final

0
1

RATU terjun negara, Pandelela Rinong berjaya mara ke pusingan akhir bagi acara 10 meter (m) Platform Individu Wanita, apabila menduduki tempat ketujuh dalam saingan separuh akhir acara berkenaan pagi ini.

Pandelela, 28, berjaya mengumpul 315.75 mata daripada lima terjunan di Pusat Akuatik Tokyo sekaligus melayakkan diri ke final yang dijadualkan berlangsung jam 2 petang ini.

Atlet yang memenangi pingat gangsa dalam acara itu di Sukan Olimpik London 2012 itu, berjaya membuat terjunan kemas dan menempatkan diri ke final bersama 11 lagi penerjun lain.

Berita gembira itu turut dikongsi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yang mengucapkan tahniah kepada penerjun negara itu.

“Permulaan yang sangat positif! Pandelela Rinong mara ke pusingan akhir bagi acara 10m Platform Individu Wanita.

“Lela hari ini dilihat kekal fokus dengan melakukan terjunan yang kemas bermula dari terjunan pertama dan berjaya mencatat skor yang baik.

“Dia berjaya memperbaiki ranking di kedudukan ketujuh dengan catatan 315.75 mata. Hanya 12 penerjun dengan catatan markah terbaik akan mara ke pusingan akhir yang dijadualkan pada jam 2 petang ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berharap, Pandelela meneruskan usaha dalam cabaran seterusnya dan yakin atlet negara itu mampu melakukan yang terbaik.

Terdahulu, saingan separuh akhir tadi diungguli penerjun China, Quan Hongchan yang mengumpul 415.65 mata keseluruhan manakala rakan sepasukannya, Chen Yuxi di tempat kedua, 407.75 mata, manakala penerjun Amerika Syarikat, Delaney Schnell ditempat ketiga dengan 342.75 mata. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here