Langkah Seri Pacific untuk jahanamkan Umno?

0
1

SELEPAS ‘Langkah Kajang’ dan ‘Langkah Sheraton’ yang dikaitkan dengan perubahan politik negara, kini ‘Langkah Seri Pacific’ pula hangat diperkatakan.

Langkah politik berkenaan dikatakan bertujuan menyelamatkan Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada kehilangan majoriti untuk terus berkuasa dan memerintah negara.

Tindakan itu juga dilihat bagi menggagalkan cubaan Umno dalam usaha mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan yang dikatakan gagal menangani krisis Covid-19 dan ekonomi negara.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang berpendapat langkah itu tidak hanya membabitkan ‘orang dalam’ Umno sendiri sahaja, tetapi ada pihak luar yang ingin menjatuhkan Umno.

“Kita biasa dengar ‘Langkah Kajang’ dan ‘Langkah Sheraton’. Langkah Sheraton memang berjaya. Terduduk Tun M (bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad).

“Sekarang ini ada pula ‘Langkah Seri Pacific’. Targetnya ialah Umno. Siapa terlibat? Berapa banyak duit? Apakah ada ‘scheme of things’? Siapa pemimpin Umno yang kerap di situ.

“Apa objektif Langkah Seri Pacific. Menjahanamkan Umno? Apakah pakar Langkah Sheraton diupah untuk jayakan langkah Seri Pacific? Nampaknya, musuh luar terlibat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, keadaan yang berlaku ketika ini adalah disebabkan terdapat beberapa pemimpin Umno yang menipu parti dan ahli demi mengekalkan kuasa yang diperoleh.

“Semua ini berlaku kerana depan cakap lain, belakang cakap lain. Mereka tipu parti. Tipu ahli parti. Ini musibah bila dapat jawatan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here