Warkah Istana Negara yang tular palsu – Zahidi

0
2

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengesahkan surat didakwa daripada Istana Negara yang ditularkan di media sosial oleh Ahli Parlimen pembangkang baru-baru ini tidak sahih.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata pihaknya mengesan beberapa Ahli Parlimen terlibat dalam mengeluarkan dokumen-dokumen palsu Istana Negara.

Beliau juga menyifatkan tindakan tersebut sengaja mahu menggugat kestabilan negara dan ingin mengambil kesempatan ketika negara masih dilanda masalah pandemik.

“Fitnah ini yang terlibat Ahli Parlimen pun ada yang mengeluarkan dokumen-dokumen palsu Istana Negara.

“Kita sudah periksa. Ada yang tidak betul. Dan kuncu-kuncu politik ada yang menyebut Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) meletak jawatan. Ada kes yang memfitnah menteri letak jawatan.

“Ini termasuklah mahu menggugat kestabilan negara. Ada juga dalam WhatsApp, Facebook yang menghina Raja,” katanya kepada media hari ini.

Zahidi berkata, setakat ini pihaknya tidak memutuskan sebarang tindakan susulan kepada pelaku yang menyebarkan dokumen palsu di media sosial namun tidak menolaknya jika tindakan tersebut menjadi lebih teruk.

Katanya, individu yang terbabit dengan sebaran fitnah diminta tidak menggunakan keterbukaan kerajaan sebagai salah satu cara ingin mencetuskan masalah kepada negara.

“Kita tidak akan ambil tindakan perkara ini tetapi jika terpaksa maka kami akan ambil tindakan juga. Di luar negara jika kita hina pemimpin ataupun pihak Istana memang dikenakan tindakan.

“Contoh di UK (United Kingdom) page disekat, tetapi di Malaysia masih terbuka. Tetapi janganlah dengan sikap keterbukaan kerajaan maka diambil kesempatan dan menggugat masalah dan ekonomi.

“Negara kita kini menghadapi masalah ekonomi sebab pandemik, masalah kesedihan rakyat, masalah ekonomi orang tiada kerja, ada yang kurang bekalan makanan, jadi jika mereka yang senang ini terus mencipta masalah maka kerajaan terpaksa ambil tindakan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Zahidi menegaskan tidak sepatutnya Ahli Parlimen pembangkang mencetuskan provokasi ketika kerajaan sedang berusaha memerangi Covid-19.

Beliau berkata, tidak perlu Ahli Parlimen pembangkang terus menerus mempersoalkan mengenai pilihan raya, kerana jika Covid-19 sudah berakhir maka biar rakyat memilih siapakah yang patut memerintah.

“Bagi kerajaan isu rakyat, kesusahan rakyat, isu Covid-19 penting. Jangan ambil kesempatan dengan isu ini untuk berpolitik.

“(Selama) 22 bulan sudah rakyat bagi peluang kepada PH (Pakatan Harapan) mereka tidak berjaya. Jadi kini kerajaan banyak membantu rakyat jadi kita teruskan pakej bantuan maka sabar lepas Covid kita buat pilihan raya bagi rakyat pilih siapa yang akan memerintah,” katanya.

Pada 30 Julai lalu, tular wakah yang didakwa daripada Yang di-Pertuan Agong yang diutuskan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat dan kronologi berhubung pembatalan semua ordinan-ordinan berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here