DATUK Seri Najib Razak mempersoalkan kenyataan media Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berhubung proses pembatalan Ordinan Darurat tidak dapat disempurnakan.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kenyataan media Muhyiddin itu adakah membawa maksud Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menipu bahawa ordinan tersebut sudah dibatalkan dan kenyataan empat muka surat mereka minggu lalu sekadar penipuan kepada Yang di-Pertuan Agong dan rakyat Malaysia.
“Hari itu, PM8 bukan tulis kenyataan panjang lebar 4 muka surat kata tak perlu perkenaan YDP Agong, tak perlu usul dan Ordinan-ordinan Darurat sudah batal?
“Hari ini kata pula tak dapat disempurnakan dan perlu usul, bahas dan diluluskan Dewan pada September.
“Maksudnya, confirm (sah) PM8 dan Menteri PN sudah menipu bahawa ianya sudah dibatalkan dan kenyataan 4 muka surat mereka hari itu sekadar penipuan sahaja kepada YDP Agong dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya menerusi Facebook.
Mengulas lanjut, Najib berkata, apakah akan terjadi sekiranya usul kerajaan itu tidak dapat undian majoriti dalam Parlimen dan tidak dapat diluluskan.
“Jadi, jangan letak usul ini ke paling belakang nanti. Biarkan ia jadi usul pertama sidang Parlimen akan datang.
“Diikuti dengan usul untuk naikkan had hutang negara supaya ada lebih banyak ruang untuk membantu Rakyat dan menghidupkan ekonomi,” katanya.
Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan proses pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Seri Paduka Baginda sepertimana yang disembah nasihat oleh Jemaah Menteri pada 23 Julai 2021 tidak dapat disempurnakan.
Katanya, dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos 2021, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit.
“Usul ini yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok diharapkan dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan ordinan-ordinan darurat secara harmoni dan berperlembagaan,” katanya. – Malaysiapost
.
Artikel berkaitan
https://malaysiapost.com.my/2021/08/03/usul-bahas-ungkai-ordinan-darurat-boleh-dibawa-ke-parlimen-bulan-depan-pm/

