PM ada tambahan 2 sokongan Ahli Parlimen PKR?

0
2

SELAIN mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen Umno, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini dikatakan mempunyai sokongan tambahan daripada tiga Ahli Parlimen PKR untuk kekal sebagai Perdana Menteri (PM).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Zahidi Zainul Abidin mendedahkan selepas Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar menyatakan sokongan kepada Muhyiddin Mac lalu, dua lagi wakil rakyat PKR menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Zahidi yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, langkah itu sekali gus menafikan dakwaan pembangkang bahawa kerajaan telah hilang majoriti.

“Kita ada perjumpaan dan Yang di-Pertuan Agong akan melihat sokongan, di mana dakwaan pembangkang bahawa Muhyiddin sudah hilang sokongan. Jadi kita Barisan Nasional (BN) berkumpul dan lihat berapa sokongan dan hantar akuan bersumpah (SD), kita hantar 40 SD menyokong Muhyiddin.

“Tidak ada masalah sokongan terhadap Perdana Menteri di mana PKR ada pertambahan tiga lagi ahli Parlimen yang sokong Muhyiddin,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Ahli Parlimen Padang Besar turut berkata, beliau akan membawa usul dalam Mesyuarat MKT hari ini untuk menyeru ahli-ahli Umno terus bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyokong kerajaan sedia ada.

Katanya, apabila Umno mendapat jawatan TPM, maka parti telah bersama-sama dengan kerajaan PN berusaha membantu rakyat.

“Saya minta beri kepercayaan kepada Ismail Sabri dan Umno tidak akan mengkhianati kerajaan yang kita bina bersama,” katanya.

Zahidi berkata, dakwaan pembangkang pada himpunan di Dataran Merdeka, semalam adalah cubaan untuk mengalihkan pandangan rakyat bagi merebut kuasa untuk menjadi Perdana Menteri.

“Sehingga hari ini, Kerajaan PN masih lagi stabil dan didokong oleh majoriti Ahli Parlimen daripada PN, BN, PAS, Bersatu serta rakan-rakan dari Sarawak dan Sabah,” katanya.

Terdahulu beliau menerima memorandum sokongan daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) untuk Muhyiddin kekal menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here