Agong boleh dapatkan penjelasan Kabinet sebelum keluarkan titah, kata Zuraida

0
2
zuraida

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin mendakwa kenyataan Istana Negara berhubung cadangan pembatalan Ordinan Darurat pada 29 Julai lalu adalah “tidak wajar” (not proper).

Ahli Parlimen Ampang itu mendakwa Yang di-Pertuan Agong, yang perlu menurut nasihat Kabinet dalam kebanyakan perkara, boleh mendapatkan penjelasan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan titah.

Beliau berkata demikian dalam rancangan bual bicara bahasa Inggeris, Consider This di Astro Awani malam tadi, lapor Malaysiakini.

Menjawab soalan berkenaan pembatalan Ordinan Darurat, Zuraida berkata sebagai anggota dalam Kabinet, beliau yakin ia dibuat dengan proses yang betul.

“Raja Berperlembagaan di mana (raja) perlu mendapat nasihat Kabinet dan Perdana Menteri tentang apa sahaja.

“Saya sedikit kecewa. Apa saja yang mereka tidak jelas, mereka seharusnya menghubungi Pejabat Perdana Menteri. (Lebih-lebih lagi) Perdana Menteri (mengadap Agong) sekali seminggu sebelum mesyuarat Kabinet,” katanya lagi.

Menurut Zuraida Kabinet memutuskan untuk membatalkan Ordinan Darurat pada 21 Julai dan berdasarkan proses yang ada membawa keputusan itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Agong seharusnya mendengar apa yang disyorkan oleh Kabinet. Sepatutnya ada perbincangan dan libat urus. Tidak harus ada sebarang kenyataan awam yang saya fikir tidak wajar (not that proper) dalam sistem Raja Berperlembagaan,” katanya.

Zuraida juga tidak setuju apabila dinyatakan bahawa persetujuan istana diperlukan untuk sebarang undang-undang.

“Jika penasihat undang-undang Agong sangat cermat dalam pentafsiran (undang-undang), dia akan tahu yang walaupun Agong tidak setuju, dalam masa 30 hari ia akan selesai atau mengambil masa enam bulan.

“Jadi, perbahasan tentang perkara ini membazir masa memandangkan kita tahu akhirnya bergantung kepada kerajaan dan Kabinet untuk memutuskan dan Agong perlu mendengarnya.

“Jika (istana) perlu penjelasan, kita akan jelaskan. Itulah yang seharusnya,” kata Zuraida.

Mengenai kenyataan Seri Paduka Baginda bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah mengelirukan Dewan Rakyat berkenaan, Zuraida berkata tiada apa yang salah.

“Jika anda dengar dengan cermat apa yang dikatakan, perkataan demi perkataan, dia tidak berkata apa-apa tentang ordinan. Dia kata Kabinet telah membatalkan ordinan pada 21 Julai.

“Jadi itu keputusan kabinet. Tiada apa yang salah,” katanya.

Pada 29 Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat, walhal pembatalan belum lagi diperkenan baginda.

Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang diperkenan dan dipersetujui terdahulu dengan Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri idrus Harun pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan berkata Seri Paduka Baginda menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Katanya, Seri Paduka Baginda turut menegaskan permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen.

Ia bukan saja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here