PENDAKWAH terkenal, Ebit Lew memberi bantuan dua kontena sejuk beku simpanan mayat kepada Hospital Kepala Batas dan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, hari ini.
Menurut Ebit, kemudahan itu memang sangat diperlukan oleh kebanyakan hospital ketika ini dan beliau berharap akan dapat menyediakan lebih banyak kontena sejuk beku lagi.
“Syukur sangat rasa…kami dapat beli dua kontena sejuk beku simpanan mayat dan terus serahkan ke Hospital Kepala Batas dan Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani.
“Kami pasang sekali rak simpan jenazah. Terus pasang dan digunakan. Masa sampai tadi jadi sebak. Bila dengar cerita doktor dan pegawai hospital.
“Cara mereka berterima kasih buat saya jadi sebak sangat. Hari Sabtu kami berbual. Hari ini Selasa dah sampai. Banyak lagi hospital memerlukan kontena ini. Doakan ye,” kongsinya di laman Facebook, hari ini.
Ebit berkata, ujian dihadapi negara kali ini amat berat dan semoga Allah SWT beri kekuatan buat doktor, jururawat, petugas barisan hadapan dan semua petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
“Allah beri sembuh pada yang sakit. Semoga Allah mudahkan segala urusan pesakit dan keluarga. Menangis mendengar kisah-kisah di hospital,” katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjaya dan memudahkan misi bantuan berkenaan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Insya-Allah kita akan cuba bantu dari semasa ke semasa. Pesakit dan yang meninggal dunia bukan orang lain. Keluarga kami juga. Sama-sama kita membantu dan mendoakan,” katanya. – Malaysiapost

