SEORANG lelaki yang juga penghidap HIV didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas pertuduhan merogol remaja bawah umur yang dipercayai kekasihnya, Mac lalu.
Tertuduh yang berusia 24 tahun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Badrul Munir Mohd Hamdy, lapor Malaysiakini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol remaja 15 tahun tujuh bulan ketika kejadian dengan mengetahui dirinya menghidap HIV dalam sebuah Perodua Kembara di Jalan Kampung Laut 1, dekat Tumpat, pada malam sekitar Mac 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (i) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (2) Kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.
Dalam prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar, pihak pendakwa raya tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana bimbang tertuduh menganggu mangsa yang kini hamil lima bulan.
Namun tertuduh yang diwakili peguam bela, Mohd Khuzaimi Mohd Salleh memohon tertuduh diberi ikat jamin.
Bagaimanapun, Badrul Munir membenarkan tertuduh dijamin RM15,000 dengan seorang penjamin selain tidak dibenarkan mangsa diganggu.
Mahkamah menetapkan tarikh 17 November 2021 untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen laporan perubatan. – Malaysiapost

