POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangkat membabitkan 64 pegawai kanan agensi berkenaan yang akan berkuatkuasa pada 6 September ini.
Superintendan Komunikasi Korporat Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Superintendan Skandaguru Anandan, memaklumkan antara pegawai kanan yang terbabit adalah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.
Menurutnya, Hazani akan memegang jawatan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA).
“Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Dev Kumar akan bertukar ke jawatan Timbalan Pengarah JSJ dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).
“Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatanan), Jabatan Pengurusan, Datuk Idris Abdullah akan mengisi jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah dengan memangku pangkat CP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Skandaguru berkata, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), Jabatan Pengurusan, Datuk Mat Kasim Karim akan menjawat jawatan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik juga dengan memangku pangkat CP.
Menurutnya, antara Ketua Polis Daerah (KPD) yang naik pangkat ialah KPD Dang Wangi Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Zainal Abdullah ke jawatan Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan Undang-Undang, JSJ dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) dan tempatnya digantikan Penolong Pengarah (D4), JSJ, ACP Dellhan Yahya.
“KPD Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh pula bertukar ke jawatan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sarawak memangku pangkat SAC.
“Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superintendan S Vijaya Rao menggantikan tempatnya dengan memangku pangkat ACP,” katanya – Malaysiapost

