MAHIR Cakna wakaf komputer riba bantu pelajar B40

0
2

PLANET Mahir Sdn Bhd melancarkan Program Wakaf Komputer Riba (MAHIR Cakna) sebagai insiatif bantuan untuk pembelajaran atas talian bagi pelajar golongan B40.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, bantuan komputer riba yang diwakafkan orang ramai itu akan dihulur khusus kepada pelajar B40 yang menyertai Program MAHIR Tutor di seluruh negara anjurannya.

“Kita menyasarkan juga bantuan komputer riba yang diwakafkan itu kepada sekolah-sekolah yang menyertai program MAHIR Tutor bagi membolehkan pembelajaran atas talian oleh pelajar-pelajar golongan B40 lebih sempurna.

“Justeru, saya mengajak warga Malaysia yang prihatin untuk bersama-sama Planet Mahir untuk mewakafkan komputer riba bagi kita serahkan kepada pelajar-pelajar yang memerlukannya”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Ramzi berkata keutamaan bantuan komputer riba itu adalah kepada pelajar tingkatan lima yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Jelasnya, Program wakaf komputer riba itu dibuka untuk orang ramai menyumbang sehingga Disember 2021.

“Pemilihan pelajar yang akan diberikan bantuan komputer riba itu akan dicadangkan oleh pihak sekolah yang menyertai program MAHIR Tutor,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak-pihak yang menyertai Program Wakaf Komputer Riba anjurannya itu.

“Bagaimanapun sumbangan dalam bentuk wang tunai tetap juga diterima dan kami akan membeli komputer riba dengan wang sumbangan tersebut bagi memudahkan pelajar dapat terus menggunakannya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyertai program wakaf komputer riba itu boleh menghubungi talian 0195240201 atau emel ke alamat [email protected].

Setakat ini, sejumlah 20 unit komputer riba telah diserahkan kepada pelajar B40 sejak Jun lalu.

Terbaru, dua pelajar B40 di Damansara, Muhammad Putra Aiman Painasir dan Nur Sayyidatul Jalilah Zukeply menerima sumbangan komputer riba daripada program wakaf berkenaan.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here