Op Benteng: Penyeludup rempuh bot Maritim, 19 warga asing ditahan

0
1

MARITIM Negeri Selangor menahan 19 warga asing yang cuba menyusup keluar secara haram dengan sebuah tongkang kayu tanpa nombor pendaftaran, pada kedudukan sekitar 2.5 batu nautika barat Sungai Serdang Besar, Kapar, awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, semasa rondaan bersepadu OP BENTENG LAUT dan OP EHSAN pada jam 1 pagi itu, bot Penggalang 41 Maritim Malaysia mengesan tongkang mencurigakan bergerak tanpa lampu menuju sempadan perairan Malaysia-Indonesia.

Sebaik dipintas untuk diperiksa, katanya, tekong tongkang tersebut bertindak agresif dan cuba meloloskan diri dengan merempuh bot Penggalang 41.

“Rempuhan tersebut menyebabkan kerosakan di bahagian sisi Penggalang 41, namun semua anggota tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Rempuhan itu juga mengakibatkan tongkang tersebut karam di lokasi kejadian dan kesemua 19 penumpang termasuk tekong jatuh ke laut sehingga hampir lemas.

“Bagaimanapun kesemua mangsa diselamatkan anggota Penggalang 41 dengan bantuan dua aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan satu aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang turut serta dalam OP BENTENG,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Rosli berkata pemeriksaan mendapati tongkang berkenaan membawa 19 warga asing termasuk tekong, terdiri 16 lelaki dan dua wanita warga Indonesia, serta seorang lelaki warga Pakistan berumur 20 hingga 45 tahun.

Katanya, kesemua suspek telah ditahan dengan 12 daripadanya gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala tujuh lagi mempunyai passport tanpa cop keluar atau masuk secara rasmi.

“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu keluar Malaysia melalui jalan tidak diwartakan dan Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Kesemua tahanan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here