Naikkan had hutang negara untuk selamatkan rakyat – Najib

0
2
Pix via Malaysiapost

KERAJAAN disaran membawa usul ke Parlimen bagi menaikkan had hutang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) supaya boleh meminjam lebih untuk membantu rakyat yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata langkah itu perlu bagi membantu rakyat secara sementara dan tidak melanggar had hutang yang ditetapkan oleh Parlimen.

Menurutnya, ada keperluan amat mendesak untuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) naikkan had hutang ke 65 peratus untuk bantu rakyat dan lawan Covid-19.

“Sekiranya hargai nyawa manusia, sayang pada rakyat serta negara dan hormati undang-undang, kerajaan PN sepatutnya bawa usul ke Parlimen untuk naikkan had hutang kepada KDNK supaya kerajaan boleh meminjam lebih untuk bantu rakyat.

“Inilah sebab satu persatu hospital perlu minta pihak swasta untuk sumbang kontena untuk simpan mayat, hospital-hospital kerajaan tak cukup ‘oxygen concentrators’.

“Kerajaan juga tidak mampu lebih membantu rakyat untuk hadapi ‘lockdown’ yang amat ketat untuk 14 hari sahaja bagi redakan keadaan Covid-19 yang sudah menjadi antara paling parah dalam dunia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerajaan Barisan Nasional (BN) telah berjaya menurunkan nisbah hutang negara ke 48.7 peratus iaitu jauh di bawah had 55 peratus yang ditetapkan.

Beliau berkata, bagaimanapun ia dinaikkan sehingga sampai 54.4 peratus ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dan kerajaan PN berjaya luluskan usul dalam Dewan untuk naikkan had 55 peratus ke 60 peratus untuk membuka ruang kewangan bagi lebih membantu rakyat.

“Namun had ini telah dicecah kerajaan PN. Maka ada keperluan amat mendesak untuk kerajaan PN naikkan had ini sekali lagi ke 65 peratus untuk bantu rakyat dan lawan Covid-19.

“Tapi kerajaan PN tak akan buat sebab nafsu untuk kekalkan kuasa tak kira apa jua adalah lebih besar berbanding nyawa manusia serta keperluan mendesak rakyat yang amat susah setelah berbulan-bulan dikurung dan negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here