Ibu tiri Ashira Aziz meninggal dunia

0
2

IBU tiri penyanyi Ashira Aziz, Norma Ariffin meninggal dunia di kediamannya di Selayang, jam 6.20 petang semalam.

Bekas finalis program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh itu berkongsi perkhabaran sedih berkenaan menerusi akaun Instagramnya, semalam.

Ashira berkata, ibunya atau lebih mesra dipanggil Mak Norma dimasukkan ke Hospital Selayang akibat jangkitan Covid-19 pada 24 Julai lalu.

Bagaimanapun, katanya, arwah dibenarkan pulang ke rumah, kelmarin namun, diserang ‘slipped disc’ atau cakera tulang belakang tergelincir hingga mengalami kesukaran bergerak.

“Arwah dibenarkan pulang selepas beberapa hari menjalani kuarantin dan rawatan di hospital. Abah tidak sabar menanti kepulangan isterinya dan siap mengemas rumah.

“Tetapi, abah hantar mesej memaklumkan arwah sakit tenat pada sebelah petang. Penyakit cakera tulang belakang tergelincir kembali menyerangnya.

“Arwah tidak boleh duduk atau bangun, malah hendak bergerak sedikit pun susah dan sakit. Abah jadi susah hati melihatkan keadaan arwah. Namun, Allah lebih menyayangi Mak Norma apabila menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.20 petang,” katanya.

Penyanyi lagu di Ombak Resah itu berkata, walaupun arwah hanya ibu tiri, namun dia sudah menyayanginya seperti ibu kandung sendiri.

“Terima kasih menjaga abah selama ini. Jaga makan minum, pakaian harian abah. Sentiasa bersama abah ketika sakit dan selalu ambil berat mengenai kami.

“Kali terakhir saya bertemu arwah pada bulan Ramadan lalu. Arwah pesan, jangan lupa kena ada zuriat lagi.

“Maafkan Oshin, Mak Norma, belum ada rezeki dan mungkin tidak akan terjadi. Oshin sudah sayang Mak Norma macam ibu sendiri,” katanya.

Terdahulu, selain ibu tirinya, bapa Ashira yang juga penyanyi veteran, Syed Abdul Aziz Syed Alwi turut positif Covid-19, namun hanya menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Ashira pula disahkan positif Covid-19 sejak lima hari lalu dan kini sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah manakala suaminya Bad Indigo pula disahkan bebas wabak itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here