NGO gesa PDRM ambil tindakan tegas terhadap MP pembangkang

0
1
Ahli-ahli Parlimen Pembangkang berkumpul dan protes di Dataran Merdeka hari ini berikutan Parlimen ditangguh selama 2 minggu bermula hari ini. Ahli-ahli Parlimen Pembangkang berarak menujuk ke Parlimen tetapi dihalang oleh PDRM.

GERAKAN Pembela Ummah (Ummah) telah membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen (MP) Pembangkang yang menyertai perhimpunan di Dataran Merdeka semalam.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, laporan itu dibuat untuk mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap kesemua peserta yang menyertai perhimpunan haram itu termasuk ahli-ahli Parlimen Pembangkang.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah memaklumkan bahawa sebarang perhimpunan sewaktu Covid-19 adalah tidak dibenarkan dan salah dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Oleh itu, Ummah mendesak agar semua ahli Parlimen pembangkang yang menyertai himpunan tersebut dikenakan tindakan tegas oleh PDRM.

“Perbuatan berhimpun yang sudah jelas menyalahi SOP ini membawa kemarahan rakyat yang selama ini bersabar mematuhi peraturan, walaupun turut terkesan dengan wabak Covid-19.

“PDRM mesti bertindak tegas terhadap kesalahan SOP sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, dalam keadaan sekarang, rakyat masih boleh bersabar mengenai isu pembukaan surau dan masjid, termasuk perniagaan, walaupun menanggung kerugian.

Bagaimanapun katanya, perkara yang jelas salah dengan mengadakan himpunan seperti ini mengguris hati rakyat.

“Sepatutnya Ahli parlimen pembangkang menunjukkan contoh terbaik dan bukannya mempamerkan perbuatan negatif sehingga menjejaskan usaha kerajaan dalam memulihkan negara pada fasa Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, Ummah menyeru kepada seluruh rakyat dan para pemimpin untuk mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan demi memastikan negara berjaya keluar daripada wabak Covid-19.

“Ummah juga telah membuat satu laporan polis pada petang semalam sebagai pemula, dan menyeru pemimpin semua NGO dan NGI yang cintakan keselamatan negara ini agar membuat laporan polis bagi mengekang sebarang tindakan yang cuba merosakkan negara ini,” katanya.

Semalam, seramai 107 MP pembangkang termasuk Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berhimpun di Dataran Merdeka selepas gagal masuk ke bangunan Parlimen.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata polis akan memanggil semua Ahli Parlimen dan individu yang terbabit dalam perhimpunan berhampiran Dataran Merdeka tersebut.

Katanya, kesemua mereka akan dirakam percakapan sebelum polis melengkapkan kertas siasatan yang akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here