SEORANG wanita dikompaun RM5,000 selepas didapati menanggalkan gelang kuarantin tanpa kebenaran Kementerian Kesihatan (KKM) untuk keluar ke tempat awam di Kamunting, Taiping, semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata pihaknya mengesan satu video berdurasi 31 saat yang tular di media sosial jam 3.40 petang semalam, memaparkan wanita berkenaan menanggalkan gelang kuarantin berwarna merah jambu terbabit.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di Kamunting, dan polis berjaya mengesan wanita terbabit serta mengenakan kompaun.
“Wanita itu melakukan kesalahan mengikut Peraturan 16 (PU [A] 293/2021) dan hukuman mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan.
“Iaitu ingkar arahan Ketua Pengarah Kesihatan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian serta kesalahan menanggalkan gelang pengawasan tanpa kebenaran bertulis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, nilai kompaun individu berjumlah RM5,000 dikenakan adalah berdasarkan magnitud kesalahan dilakukan wanita terbabit.
“Polis menasihati masyarakat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memerangi wabak Covid-19.
“Mana-mana individu yang didapati sengaja melanggar peraturan yang ditetapkan akan diambil tindakan sewajarnya mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.
Terdahulu video yang tular berkenaan memaparkan wanita terbabit yang memakai topi keledar menunjukkan gelang kuarantin berwarna merah jambu yang ditanggalkan dan disimpan di dalam beg tangannya. – Malaysiapost

