Lelaki mengamuk dihalang keluar dari kawasan PKPD

0
2

SEORANG lelaki mengamuk selepas dipercayai gagal keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Telaga Air, Padawan, Sarawak semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, lelaki berusia 30 tahun terbabit menyerang anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta Skim Rondaan Sukarela (SRS ) yang bertugas di PKPD berkenaan.

Dia berbuat demikian ketika cuba dipujuk supaya kembali ke rumahnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong, berkata suspek dipercayai marah dan mengamuk kerana tidak berpuas hati apabila tidak dapat keluar dari kawasan PKPD yang dikawal ketat pihak keselamatan.

“Semasa kejadian (dalam video) pihak polis bersama anggota RELA dan SRS yang sedang bertugas memujuk suspek dan memintanya supaya balik ke rumah, tetapi suspek enggan berbuat demikian.

“Suspek kemudian mengacukan kayu panjang ke arah anggota keselamatan dan berlaku pergelutan sebelum suspek berjaya ditangkap dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Siburan untuk tindakan lanjut dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Reman diperoleh selama empat hari iaitu sehingga 6 Ogos ini.

“Orang ramai yang berada di kawasan PKPD dinasihati sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa dan bersabar sementara tamatnya PKPD,” katanya.

Terdahulu tular satu video berdurasi 21 saat menunjukkan seorang lelaki yang memakai pelitup muka cuba menyerang beberapa anggota keselamatan dengan menggunakan kayu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here