Penganjur ‘Keluar dan #Lawan’ cadang berhimpun lagi

0
1
Sebahagian peserta berarak di Jalan Masjid Jamek ketika menyertai perhimpunan Keluar dan Lawan di Kuala Lumpur.

PENGANJUR perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di Dataran Merdeka, Sabtu lalu tidak menolak kemungkinan akan terus mengadakan perarakan yang sama selepas ini.

Bagaimanapun, menurut jurucakap Sekretariat Soladiriti Rakyat, Mohammad Asraf Sharafi, masa dan tarikh perhimpunan seterusnya tidak dinyatakan.

Sehingga jam 12.45 tengah hari tadi, lapan daripada 11 individu terdiri daripada penganjur dan peserta perhimpunan berkenaan selesai memberikan keterangan, manakala dua lagi, baru tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur untuk rakaman percakapan.

Mohammad Asraf berkata pihaknya mula memberikan keterangan jam 10.30 pagi tadi dan proses merakam percakapan dibuat selama lebih dua jam, lapor Berita Harian.

“Pihak polis menyatakan siasatan dilakukan mengikut Akta 342 selepas dikatakan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Pada kami, semasa hari perhimpunan, kami sudah mematuhi segala SOP dengan menyediakan pelitup muka dua lapis, sarung tangan, penghadang muka (face shield),” katanya selepas selesai memberikan keterangan.

Beliau berkata, peserta perhimpunan juga dipantau oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), yang secara dasarnya mengesahkan mereka mematuhi segala SOP ditetapkan.

Terdahulu, hampir 200 peserta perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan berhimpun berhampiran Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada Sabtu lalu.

Himpunan yang dipercayai diadakan bagi meluahkan ketidakpuashatian terhadap kerajaan dan mendesak agar Perdana Menteri dan seluruh Kabinetnya meletak jawatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here