‘Hari ini adalah titik hitam sejarah berparlimen negara’ – Kit Siang

0
1

VETERAN DAP Lim Kit Siang menyifatkan hari ini sebagai titik hitam dalam sejarah berparlimen negara apabila Ahli Parlimen dihalang untuk hadir ke Parlimen.

Kit Siang berkata, beliau tidak pernah terfikir akan wujud satu keadaan di mana Ahli Parlimen dilarang berbuat demikian sekali gus mencatat sejarah memalukan buat negara.

“Saya tidak terfikir sesiapa pun, baik di masa lepas, sekarang, atau dari masa hadapan, yang akan menjangkakan akan ada satu hari di mana Ahli-ahli Parlimen Malaysia dihalang daripada datang ke Parlimen.

“Pada tahun 1933, Hitler disyaki menjadi dalang di sebalik pembakaran Parlimen Jerman — kejadian Kebakaran Reichstag — untuk memulakan pemerintahan diktator Nazi beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau mempersoalkan sama ada Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan bersidang semula pada 16 Ogos susulan cadangan penangguhan mesyuarat kedua-dua dewan berkenaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Adakah Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan bersidang semula pada 16 Ogos dan 17-19 Ogos selepas penggantungan sidang selama dua minggu kerana wabak Covid-19 seperti yang dinasihatkan oleh (Tan Sri Dr) Noor Hisham?,” soalnya.

Selain itu, Kit Siang turut mempersoalkan adakah wabak Covid-19 sengaja dijadikan alasan oleh pihak tertentu untuk ‘mengunci’ Parlimen.

“Adakah juga akan mencatatkan sejarah memalukan di mana Parlimen dikunci menggunakan wabak Covid-19 sebagai alasan untuk menyelamatkan kerajaan pintu belakang yang tidak sah dan tidak demokratik daripada ditumbangkan dalam sebuah krisis perlembagaan besar yang disebabkannya sendiri?,” katanya.

Terdahulu, puluhan Ahli Parlimen pembangkang berarak menuju ke Parlimen selepas berkumpul di Dataran Merdeka kira-kira jam 10.20 pagi tadi.

Mereka berarak beramai-ramai berjalan kaki sambil membawa sepanduk yang meminta Perdana Menteri dan anggota Kabinet meletakkan jawatan.

Selain Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), turut kelihatan Ahli Parlimen dari Parti Warisan Sabah dan Parti Pejuang Tanah Air.

Terdahulu di Dataran Merdeka, beberapa Ahli Parlimen kelihatan menyampai ucapan antaranya Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here