ADUN Lunas dan Sidam sertai Bersatu

0
3

DUA bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sebelum ini menjadi ADUN Bebas kini sah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), semalam.

ADUN Lunas, Azman Nasrudin menjelaskan tindakan yang dilakukan bersama ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee adalah bagi mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Kedua-duanya juga mengambil tindakan sama dengan menyertai Bersatu pada 22 Ogos lalu.

Tambahnya, kedua-dua mereka yang dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Kedah turut menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin di peringkat Pusat dan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor di peringkat negeri.

“Insyaallah saya telah berhubung dengan kepimpinan Bersatu Kedah bahawa kita akan berbincang untuk kukuhkan dan mantapkan lagi parti ini di Kedah.

“Insya-Allah kami daripada anggota PKN (Penggerak Komuniti Negara) bersedia menerima arahan daripada Tan Sri Muhyiddin dan (Pengerusi Bersatu Kedah) Datuk Suhaimi (Abdullah).

“Ya (sudah maklum). Saya dan YB Robert secara sahnya adalah ADUN daripada Bersatu,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Azman ditemui media selepas Majlis Makan Malam Penggerak Komuniti Negara Kedah di Alor Setar, semalam.

Tambah beliau, pihaknya menjangkakan sekitar 10,000 ahli Penggerak Komuniti Negara di Kedah akan turut menyertai Bersatu dalam masa terdekat termasuk dalam kalangan kaum Cina dan India.

Pada 12 Mei lalu, Azman dan Robert mengesahkan telah keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat negeri.

Perubahan terbabit menjadikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) campur Bersatu yang dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir hilang majoriti di peringkat DUN Kedah.

Kedudukan terkini komposisi DUN Kedah adalah 15 ADUN daripada Pas, UMNO (dua kerusi) dan Bersatu dengan enam kerusi. – Malaysiapost