SYARIKAT swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan majikan disaran membuka peluang pekerjaan kepada bekas penghuni penjara sebagai usaha membantu mereka mendapatkan kehidupan baru.
Pengarah Penjara Kajang, Abdul Halim Ma Hasan berkata, melalui Program Penempatan Semula Penghuni, seramai 900 bekas penghuni Penjara Kajang bekerja dengan pelbagai syarikat sejak tahun lalu.
“Kita menjalinkan kerjasama dengan NGO dan majikan yang menyediakan peluang kerjaya kepada penghuni yang akan bebas,” katanya pada sidang media, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (Pergak), Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad berkata, pihaknya juga menyediakan peluang pekerjaan kepada bekas penghuni penjara dalam program I-Kembali.
Menurutnya, ia membabitkan enam sektor iaitu industri perkilangan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian, pemasaran dan pengurusan.
Jelasnya, bekas penghuni penjara terpilih akan melalui satu proses saringan di Ghullam Recovery Care Centre (GRCC) sebelum ditempatkan di sektor pekerjaan mengikut kesesuaian.
“Majikan tidak perlu curiga untuk mengambil bekas penghuni penjara bekerja kerana kita telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta syarat yang disarankan kerajaan,” katanya.
Tambahnya, peluang sebegitu dapat memberi motivasi kepada bekas penghuni penjara untuk lebih bersemangat dan memulakan hidup baru dengan kerjaya yang stabil. -Malaysiapost








