DATUK Seri Mohamed Azmin Ali mengakui lebih selesa bekerjasama dengan Umno dan PAS berbanding bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) , Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, perebutan jawatan antara Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohamad membuatkan dirinya serta rakyat sudah berasa bosan kerana turut diheret sama ke dalam pertelingkahan yang berlarutan selama lebih 20 tahun itu.
Justeru, beliau menjelaskan dirinya bersama beberapa Ahli Parlimen yang lain mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama Pakatan Harapan (PH) sebaliknya menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, tindakan terbabit juga adalah sebagai langkah untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil di mana mampu memenuhi hasrat dan keperluan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
“Soalan yang sering ditanya kepada saya, apakah saudara selesa duduk dengan Pas dan Umno? Saya jawab mudah saja, saya lebih yakin duduk di sebelah Pas dan UMNO daripada duduk dengan Anwar Ibrahim.
“Saya bukan kenal dia satu hari (atau) dua hari, berpuluh tahun (saya kenal), sudah-sudahlah. Rakyat menderita di bawah, rakyat susah di bawah, hari-hari dia (Anwar) tanya bila aku nak jadi perdana menteri.
“Yang si Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) kata tunggulah bagilah aku enam bulan lagi, (Anwar) tak (setuju), (minta) tetapkan tarikh. Tuan-tuan, 20 tahun kami bincang siapa nak jadi perdana menteri, cukuplah tak ada kerja lain,” katanya seperti dilapor Astro Awani, hari ini.
Tambah Mohamed Azmin, solusi terbaik adalah Anwar dan Dr Mahathir mengambil keputusan berehat daripada politik dan memberi peluang kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Makan Malam Penggerak Komuniti Negara Kedah di Alor Setar, semalam.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyatakan keyakinan gabungan PN dan Muafakat Nasional (MN) mampu cemerlang dalam Pilihanraya Umum ke-15 jika ia dilaksanakan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, ianya bersandarkan sokongan masyarakat berbilang bangsa ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dan Chini.
Katanya lagi, keyakinan itu ditambah dengan penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Muhyiddin terutama ketika proses fasa pemulihan daripada wabak COVID-19. – Malaysiapost

