Nilam Oshman
WARGANEGARA Malaysia berumur 40 tahun ke atas yang masih belum menerima vaksinasi, boleh terus “walk-in” ke sembilan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bermula jam 2 petang ini.
Sembilan PPV yang disenaraikan itu adalah KL Convention Centre (HCO F, HCO G dan HCO H); Bangi Avenue Convention Centre (BACC); Hotel Wyndham, Klang; Dewan Tun Razak, Sabak Bernam; Dewan Komuniti Serendah; Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA dan Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata langkah itu untuk menyasarkan golongan dewasa yang tercicir daripada vaksinasi.
Katanya, setakat semalam, masih lagi berbaki tiga peratus daripada populasi dewasa di Lembah Klang yang belum divaksinasi.
“Justeru, warganegara Malaysia berumur 40 tahun ke atas atau individu yang mempunyai komoditi dan tidak mempunyai temu janji, tidak mendaftar atau membatalkan pendaftaran mereka boleh walk-in ke sembilan PPV yang telah disenaraikan, bermula jam 2 petang ini.
“Saya harap jangan datang terlalu awal ia mungkin menyebabkan kesesakan. Inisiatif ini akan berlangsung 22 Ogos di mana kita akan menyasarkan dalam tempoh ini semua yang tercicir akan dapat selesai menerima vaksinasi mereka,” katanya dalam sidang media CITF hari ini.-Malaysiapost

