Ada pihak gentar lihat negara hampiri kejayaan tangani Covid-19

0
2
PUTRAJAYA 15 APRIL 2020. Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin ketika membuat pengumuman Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini dibatalkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19. NSTP/IHSAN KPM

MENTERI Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Radzi Jidin mempersoalkan kenapa ada pihak yang gentar melihat negara menghampiri kejayaan menangani Covid-19.

Beliau berkata sepertimana dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berdasarkan kadar vaksinasi semasa, Malaysia dijangka akan mencapai imuniti kelompok pada Oktober ini.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia ternyata berada pada landasan tepat yang mana pada 31 Ogos nanti, 50 peratus populasi dewasa divaksin dan pada Oktober negara mencapai imuniti kelompok.

“InsyaAllah, jika kita terus teguh bergerak bersama, kita akan berjaya memacu Malaysia keluar dari kemelut ini.

“Jadi, adakah tindakan kelompok tertentu yang cuba menunjukkan seolah-olah Malaysia tiada harapan untuk keluar daripada kemelut Covid-19 adalah disebabkan mereka ini takut melihat kejayaan nanti?

“Mungkinkah mereka fikir sekiranya kita semua berjaya membawa Malaysia keluar daripada kemelut Covid-19 maka mereka tiada lagi perkara yang boleh dijadikan isu,” tulisnya menerusi hantaran di Facebooknya.

Radzi berkata telah menjadi rutinnya saban hari untuk melihat kadar vaksinasi negara, termasuk kadar vaksinasi dalam kalangan guru dan kakitangan sokongan sekolah.

Ini katanya membantu kementeriannya merencana perancangan yang terbaik.

“Kadar pemberian vaksin negara pada hari ini antara tertinggi di dunia. Secara purata, negara kita mencatatkan jumlah pemberian vaksin melebihi 500,000 dos untuk tujuh hari yang lepas.

“Sehingga semalam, 60.9 peratus populasi dewasa negara telah menerima satu dos vaksin manakala 29.7 peratus menerima dua dos. Peratusan penerima dos pertama sebenarnya memberi gambaran jelas kepada kita tentang jumlah mereka yang akan menerima dos kedua dalam masa terdekat.

“Umumnya mereka yang menerima dos pertama akan menerima dos kedua dalam masa beberapa minggu,” katanya.

Beliau berkata, Khairy Jamaluddin, Menteri Penyelaras Program Imuniasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) semlam menyatakan pada 31 Ogos ini, 50 peratus populasi dewasa akan menerima vaksin lengkap yang akan menjadi hadiah Merdeka terbaik buat seluruh rakyat Malaysia.

Berdasarkan contoh di banyak negara, katanya, apabila peratusan vaksinasi penduduk semakin tinggi, walaupun jangkitan masih ada, tetapi jumlah pesakit yang memerlukan rawatan rapi akan menurun.

Pada masa sama, beliau berkata tekanan kepada kapasiti hospital khususnya di wad ICU juga akan berkurangan yang mana contohnya dapat dilihat di Sarawak dan Labuan.

“Peningkatan kes Covid-19 varian Delta ini bukan hanya berlaku di Malaysia. ini fenomena yang memberi kesan kepada sebahagian besar negara di dunia.

“Oleh itu, negara-negara ini berlumba-lumba untuk meningkatkan peratusan jumlah penduduk yang divaksinasi dalam usaha membawa negara mereka keluar daripada kemelut Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here