
WARTAWAN Veteran, Datuk A Kadir Jasin mengingatkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah supaya tidak tidak terpalit dengan ‘nama busuk’ kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, ketika ini Dr Noor Hisham seolah-olah secara sukarela atau terpaksa, telah membela kerajaan dalam isu penangguhan sidang Parlimen hari ini.
Katanya, Dewan Rakyat sepatutnya bersidang hari ini tetapi dibatalkan atas alasan “selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan”.
“Apa yang menjadi hal bukanlah nasihat profesional Dr Noor Hisham tetapi oleh kerana nama kerajaan Melayu-Islam PN begitu busuk dan tidak dipercayai jadi sesiapa pun yang bersangkut paut dengannya turut menjadi busuk dan diragui,” tulisnya dalam Facebook, hari ini.
Beliau berkata, risiko persidangan hakikatnya tidaklah sebesar mana sehingga Dr Noor Hisham perlu “campur tangan” sehingga begitu sekali.
“Yang sepatutnya diuar-uarkan adalah hakikat bahawa daripada 120 Ahli Dewan Rakyat yang masih hidup, hanya beberapa kerat saja tidak atau belum divaksinasi kerana masalah kesihatan.
“Natijahnya umpama seekor kerbau yang membawa lumpur habis sekandang terpalit,” katanya.
A Kadir berkata, disebabkan itu sejak awal penubuhan Kerajaan PN lagi beliau kerap memberi amaran bahawa sesiapa saja yang dilihat bersubahat dengan kerajaan akan turut dipersalahkan dan dikutuk.
“Malangnya mereka tidak hirau kerana mereka berasa tindakan mereka tepat atau kerana mendapat habuan yang lumayan daripada “the scheme of things” Mahiaddin Md Yasin (Muhyiddin).
“Sekarang barulah sesetengah daripada mereka sedar bahawa mereka telah melepaskan anjing tersepit kerana imej mereka telah calar-balar dan terkoyak oleh gigitan dan cakaran haiwan ganas ini,” katanya.
Sehubungan itu, A Kadir berkata, seikhlas mana pun Dr Noor Hisham memberi nasihat, ia didakwa akan digunakan sepenuhnya oleh Muhyiddin dan pengikutnya untuk menyelamatkan diri.
“Seikhlas dan seprofesional mana pun Dr Noor Hisham memberi nasihat, peluang dan ruang yang tercetus hasil daripada nasihatnya itu akan digunakan sepenuhnya Muhyiddin dan para pesekongkolnya untuk menyelamatkan nyawa mereka yang berada di hujung ‘Pedagang Damocles’ ciptaan mereka sendiri,” katanya.
A Kadir berkata, ketika ini perdagangan manusia ala politik sedang berjalan rancak dengan setiap Ahli Dewan Rakyat adalah “goods-in-trade” yang akan cuba dibeli.
“Lihatlah bagaimana Ahli Dewan Rakyat Umno sanggup menyepak ke tepi ketetapan Perhimpunan Agung Tahunan (PAU) parti mereka sendiri demi nikmat kuasa dan duit.
“Apatah lagi PAS yang tiang golnya sentiasa berubah dan nikmat hedonisme boleh dijustifikasikan melalui fatwa politik,” katanya.
Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan semua sesi mesyuarat di Parlimen, termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen, ditangguhkan selama dua minggu bermula 29 Julai lalu bagi mencegah perebakan jangkitan Covid-19.
Dr Noor Hisham berkata, hasil penilaian risiko yang dilakukan selepas mengambil kira faktor epidemiologi serta persekitaran, mendapati sidang Parlimen adalah perhimpunan berisiko tinggi untuk penularan wabak itu.
Beliau berkata, penangguhan sementara itu meliputi pembentangan yang dirancang di Parlimen atau yang membabitkan individu berada di bangunan berkenaan pada 26 hingga 29 Julai lalu.
Malah, beliau berkata, empat sampel kes positif Covid-19 hasil saringan di Parlimen berkemungkinan besar adalah varian Delta. – Malaysiapost
