SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mempamerkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku tahun kedua ST2/2021 selama 14 hari mulai 3 hingga 16 Ogos ini di 822 tempat pameran RDPT seluruh negara.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmarlrudin Ishak berkata RDPT ST2/2021 mengandungi 44,321 permohonan pendaftaran pemilih baru daripada warganegara yang layak.
Selain itu katanya ia mengandungi 21,567 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar yang memohon antara 1 April hingga 30 Jun 2021.
Semakan ROPT ST2/2021 boleh dibuat melalui beberapa kaedah semakan seperti berikut:
(a) Hadir ke 822 tempat pameran ROPT ST2/2021 di seluruh negara dan mengimbas Kod QR bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diletakkan; atau
(b) Melayari portal rasmi Pejabat-Pejabat Pililhan Raya Negeri (Rujuk Lampiran A);
(c) Hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan dan menyemak buku RDPT ST2/2021 yang disediakan (sila hubungi PPN untuk temujanji atau maklumat waktu operasi pejabat); atau
(d) Melayani portal rasmi SPR di https://pengundi.spr.gov.my/ atau membuat semakan melalui aplikasi MySPR Semak.
Ikmalrudin berkata semua pemohon dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dalam RDPT ST2/2021 dan sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan dalam RDPT ST2/2021, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B.
“Bagi pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang dalam RDPT ST2/2021 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian, dengan mengisi Borang C.
“Borang B dan C boleh dimuat turun dari portal Pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu diadakan.
“Semasa tempoh Pameran RDPT ST2/2021, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan atau apa-apa sebab berdasarkan Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002,” katanya. – Malaysiapost
Semakan daftar pemilih

